Kembali Ke Sekolah…

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua…

Sekian lama tak menulis di blog, walau sebenarnya hati rasa bersalah pada pembaca yang menulis komen serta mengaju soalan untuk dijawab. Rupanya bukan mudah bila dah ada blog sendiri. Terwujud tanggungjawab lain pula untuk memenuhi kehendak pengunjung setia yang sudi mengikut kisah catatan hidup saya.

Madrasah Ramadhan yang berlalu diharapkan dapat menjadikan kita insan yang lebih baik daripada sebelumnya. Syawal yang kita lalui kini menjadi penyambung silaturahim serta menyubur mahabbah sesama kita. Jangan lupa teruskan ibadah kita yang maha hebat semasa Ramadhan yang lepas.. agar semua itu menjadi pemberat dalam timbangan amal di akhirat kelak.

Taqabbalallahu minni wa minkum!

A Prince Was Born!

Assalamualaikum semua pembaca..

Alhamdulillah 2 Julai 2011 yg lalu, saya telah selamat melahirkan seorang putera di Klinik Bersalin Yasmin, Lumut. Ibu dan bayi, alhamdulillah sihat2 sahaja… Inilah pengalaman pertama menjaga anak lelaki walaupun telah 4 kali melalui proses yg serupa..:)  Terima kasih atas doa dan harapan semua ahli keluarga yg telah merealisasikan impian kami untuk mendapat anak lelaki…

Buat putera ummi dan walid yang dicintai, semoga menjadi anak yang soleh, penyejuk mata & hati kami.. Selamat datang ke dunia yg penuh cabaran…  Azzam Fathi bin Abdullah!

 

Waktu Solat 2011

Anda boleh mendapatkan jadual waktu solat 2011 di sini. Atau klik pada gambar di atas.

My Lakeville House

Alhamdulillah…sekian lama menunggu, semalam saya dihubungi wakil pemaju untuk mendapatkan kunci rumah. Hampir 4 bulan lewat dari tarikh penyerahan pemilikan kosong sepatutnya. Tetapi, baru pagi tadi saya dan keluarga pergi mengambil kunci dan membuat spot check yang perlu di rumah kami.

Memang teruja untuk pindah masuk. Tapi banyak perkara dan kerja yang perlu dibuat sebelum itu. Dan banyak jugalah RM yang akan terlibat untuk segala proses tersebut.. Termenung juga, tetapi moga Allah mudahkan dan memberi jalan keluar. Apapun, saya akan berbelanja untuk keperluan yang benar-benar penting dahulu. Yang lain, boleh ditambah kemudian. Paling seronok, anak-anaklah.. masing-masing sibuk memilih bilik dan berangan tentang perabot yang mahu dimiliki..hhehehee…sabar ye nak…

Semoga hadirnya kami sekeluarga di rumah ini akan menambah bahagia dan ceria dalam sejarah hidup .. Seiring mencari kesempurnaan hidup dan redhaNya…

Kembali Ke Sekolah!

Takwim Sekolah 2011

Kalendar Persekolahan Tahun 2011 

Kumpulan A
Penggal Cuti dan Hari Persekolahan Mula Akhir Hari
I Hari Persekolahan 02.01.2011 31.01.2011 22
Hari Persekolahan 01.02.2011 28.02.2011 20
Hari Persekolahan 01.03.2011 10.03.2011 8
Cuti Pertengahan Penggal 11.03.2011 19.03.2011 9
Hari Persekolahan 20.03.2011 31.03.2011 10
Hari Persekolahan 01.04.2011 30.04.2011 20
Hari Persekolahan 01.05.2011 26.05.2011 20
Cuti Pertengahan Tahun 27.05.2011 11.06.2011 16
II Hari Persekolahan 12.06.2011 30.06.2011 15
Hari Persekolahan 01.07.2011 31.07.2011 21
Hari Persekolahan 01.08.2011 25.08.2011 19
Cuti Pertengahan Penggal ke II 26.08.2011 03.09.2011 9
Hari Persekolahan 04.09.2011 30.09.2011 20
Hari Persekolahan 01.10.2011 31.10.2011 22
Hari Persekolahan 01.11.2011 17.11.2011 13
Cuti Akhir Tahun 18.11.2011 31.12.2011 44
Jumlah 288
Jumlah Hari Persekolahan Termasuk Cuti Am 210
Jumlah Hari Cuti Penggal 78
Kumpulan B
Penggal Cuti dan Hari Persekolahan Mula Akhir Hari
I Hari Persekolahan 03.01.2011 31.01.2011 21
Hari Persekolahan 01.02.2011 28.02.2011 20
Hari Persekolahan 01.03.2011 11.03.2011 9
Cuti Pertengahan Penggal 12.03.2011 20.03.2011 9
Hari Persekolahan 21.03.2011 31.03.2011 9
Hari Persekolahan 01.04.2011 30.04.2011 21
Hari Persekolahan 01.05.2011 27.05.2011 20
Cuti Pertengahan Tahun 28.05.2011 12.06.2011 16
II Hari Persekolahan 13.06.2011 30.06.2011 14
Hari Persekolahan 01.07.2011 31.07.2011 21
Hari Persekolahan 01.08.2011 26.08.2011 20
Cuti Pertengahan Penggal ke II 27.08.2011 04.09.2011 9
Hari Persekolahan 05.09.2011 30.09.2011 20
Hari Persekolahan 01.10.2011 31.10.2011 21
Hari Persekolahan 01.11.2011 18.11.2011 14
Cuti Akhir Tahun 19.11.2011 01.01.2012 44
Jumlah 288
Jumlah Hari Persekolahan Termasuk Cuti Am 210
Jumlah Hari Cuti Penggal 78
Kumpulan A Kumpulan B
  • Kedah
  • Kelantan
  • Terengganu
  • Perlis
  • Pulau Pinang
  • Perak
  • Selangor
  • Negeri Sembilan
  • Melaka
  • Johor
  • Pahang
  • Sabah
  • Sarawak
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
  • Wilayah Persekutuan Labuan
  • Wilayah Persekutuan Putrajaya

Di Akhir Garisan

Assalamualaikum semua pembaca budiman…

Hmm…sekian lama saya tak bertandang ke blog sendiri, rasa lain macam saja. Saya mohon maaf kerana tidak dapat menulis di sini disebabkan beberapa tugasan yang memerlukan komitmen di tempat lain. Biasalah..dah berkeluarga.

Saya juga mohon maaf kepada pelajar2 yang tertunggu2 skema jawapan kertas2 percubaan yang telah saya sertakan lewat dulu. Minggu depan keputusan penuh akan diumumkan! Maaf sekali lagi…

Sejak Jumaat rumah saya dikunjungi keluarga abang ipar yang duduk di Klang. Kedatangan mereka memang mengundang ceria dan bahagia buat saya sekeluarga. Seronok bila orang datang bertandang…Rumah sentiasa bersih dan kemas..hehehh.. Tambahan pula, anak2 mereka semuanya perempuan. Memang secocok dengan keluarga saya..

Sepanjang cuti akhir tahun kali ini, saya tak bercuti di kampung mertua sebagaimana kebiasaan. Cuma mengambil kesempatan menghadiri kenduri kahwin anak saudara suami supaya dapat bertemu dengan keluarga mertua. Itupun hanya 2 hari di Rembau. Kami menyewa bilik di chalet As Sofa, Rembau.

Suami sibuk mengatur perancangan untuk pengisian cuti anak2. Alyaa’ berkesempatan mengikuti program Tahfiz Al Quran anjuran Masjid UTP selama 3 minggu. Alhamdulillah dia sudah boleh menghafaz Surah As Sajadah walaupun terkadang kurang lancar. Alhamdulillah, satu ilmu baru buat dia.

Atiyyah pula, saya dan suami merancang untuk menghantar dia ke sekolah rendah walaupun belum umur 7 tahun. Alhamdulillah, dia telah diterima ke Sekolah Rendah Al Hidayah, Taman Maju bermula sesi sekolah tahun hadapan bagi Tahun 1. Semoga potensi yang ada dalam dirinya dapat dikembangkan dengan baik di sekolah tersebut.

Cuti sekolah pun sudah hampir berakhir. Bermakna lagi 2 minggu, sesi persekolahan 2011 akan bermula tidak lama lagi. Tapi rasanya, semua masih lagi dalam mood cuti..hehe..

Saya rasa itu sahaja coretan buat kali ini. Buat semua calon PMR 2010, cikgu doakan kamu semua mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR yang akan dimumkan Khamis depan.

Jumpa lagi! Assalamualaikum…

Kertas Percubaan PMR Negeri Sembilan 2010

Buat semua calon PMR 2010, dapatkan set soalan untuk latih tubi anda. Semoga berjaya dengan cemerlang!

Kertas KHB-ERT dan KHB-KT, saya telah masukkan di menu bar blog homepage.

Selamat Tinggal Ramadhan!

Terlalu pantas masa berlalu…terasa belum puas mencari permata dalam Ramadhan… Selagi masih berkesempatan hidup di hari-hari akhir Ramadhan, marilah sama-sama kita tingkatkan amal ibadah untuk mendapat ganjaran yang telah dijanjikanNya. Semoga beroleh keampunan serta mendapat tempat di syurgaNya. Amin…

Selamat Berjuang!

Patah Hati

Hari ini, bermulanya minggu yang mendebarkan buat semua anak didik Tingkatan 3 di SMKASAS. Begitu juga dengan pelajar lain yang menghadapi minggu Ujian Selaras 2 selama seminggu. Petang semalam, saya dan Cikgu Hasnimah cuba melapangkan masa bersama dengan pelajar Tingkatan 3 untuk program Prep Kualiti sebagai persediaan akhir sebelum peperiksaan percubaan hari ini.

Saya sedikit terkilan kerana kehadiran pelajar lelaki sangat tidak memuaskan. Tak pasti di mana silapnya. Rasa sedih, kecewa bercampur baur kerana bukan senang cikgu berkorban masa terhadap keluarga pada hujung minggu semata-mata tidak meninggalkan anda semasa kelas persediaan. Kelas saya bermula 2 petang dan berakhir jam 5. Lingkungan waktu ini, biasanya anak kecil saya (Ameera Hasna – 1 tahun) dan Aishah Asfa Arridha (3 tahun), tidur. Saya terpaksa angkut semua anak (4 orang) termasuk yang lena (Hasna dan Aishah) untuk dihantar ke taska! Pada saya, susah kalau mereka ditinggalkan di rumah, memandangkan suami bertugas sebagai Imam di surau.

Saya hairan juga, di manalah rasa tanggungjawab sebagai pelajar sekolah agama kluster kecemerlangan yang disebut-sebut itu. Memang sangat terkilan, KECEWA, rasa dipinggirkan, tidak dihargai…segalanya! Anda tak peduli kehadiran dan susah payah guru anda…Patah hatiku..!😦

Anda Jadi Penentu

Sungguhpun begitu, hati sejuk juga dengan kesungguhan sebahagian pelajar puteri yang bersungguh-sungguh mendapatkan bimbingan terakhir dari cikgu. Pesan saya, siapa anda hari ini, akan menentukan bagaimana anda pada masa akan datang. Sikap, akhlak dan ketrampilan diri anda hari ini, yang bakal menentukan anda cemerlang atau sebaliknya. Pada saya, ukuran kejayaan sebenar seseorang bukan pada pencapaian akademik semata, tetapi mesti seiring dengan akhlak muslim yang baik.

Apapun, saya mendoakan anda semua mencapai kejayaan yang dicitakan, mengharumkan nama sekolah dan keluarga. Dan alangkah manisnya, andai satu masa nanti anda juga berjaya menjadi muslim profesional yang melaksanakan Islam dalam berkerjaya dan kehidupan.

Selamat menduduki Peperiksaan Percubaan PMR dan Ujian Selaras 2 buat semua anak didik. Cikgu hanya mengharapkan doa dari kalian agar segala ilmu dan kebaikan yang diberi menjadi pemberat amal di akhirat… Doakan cikgu juga ye! 🙂

Kemelut Taska 2

Masalah Rutin

Di awal perlantikan saya sebagai Pengurus Taska At Tarbiah sehinggalah sekarang dikenali sebagai Pusat Jagaan At Tarbiah SMKASAS, rasanya amanah itu agak berat. Apalagi jika seiring dengan tugas rutin saya sebagai pendidik sebuah sekolah kluster kecemerlangan. Tetapi Alhamdulillah, segala telahan saya nyata meleset kerana semua AJK dan rakan-rakan guru yang terlibat, sangat memberi kerjasama dan komitmen yang baik terhadap hal ehwal pengurusan. Malah saya merasakan, kami sedang bersama-sama mengurus pusat jagaan anak-anak kami, dan jawatan saya itu hanyalah sekadar `di atas kertas’ sahaja.

Sekarang ini, taska kami melalui kemelut rutin yang biasa…Pengasuh saling tidak percaya, kurang serasi dan sana sini terdapat lompang yang tak sempat ditampung oleh yang lain. Biasalah, kalau ada perbezaan umur, tahap kesihatan, pemahaman bidang tugas, emosional, sudah pasti sukar untuk membentuk keserasian. Setiap dari mereka ada saja masalah yang diadu kepada saya, Pengurus yang menjadi pendengar setia. Masing-masing dengan harapan yang menggunung agar saya dapat merungkai kemelut yang melanda.

Kebajikan Masyarakat

Sejak kemasukan pengasuh yang agak `berumur’ menjadi sebahagian dari keluarga baru taska ini, lewat kebelakangan, banyak pula cerita `tidak serasi’ ini timbul. Yang muda belia, mereka tangkas, segalanya dibuat penuh cekap dan komited. Yang tua (berumur), stamina sudah jauh ketinggalan, ditambah dengan sakit yang ada. Perbezaan dari segi ketangkasan bekerja ini begitu ketara diutarakan kepada saya. Yang muda cepat belajar, yang tua, setiap hari terpaksa diingatkan tugasnya sendiri. Hmm…susah juga ye.. Saya diminta untuk menegur pihak yang kononnya bermasalah itu.

Kadang-kadang masa agak terbatas, mencari ruang untuk menyelesaikan kemelut begini memakan masa juga. Setiap hati mesti dijaga, jangan sampai rajuknya hingga mohon berhenti kerja. Yang susah, pastinya kami, cikgu-cikgu! Semua tindakan yang diambil mesti mengambil kira kebajikan setiap pihak, baik pengasuh, anak-anak mahupun cikgu-cikgu. Tiga pihak inilah yang merealisasikan penubuhan taska kami. Taska untuk menjaga kebajikan masyarakat SMKASAS.

Saudara Baru

Minggu ini, kami menerima dua orang lagi ahli baru keluarga taska. Seorang sebagai pengasuh, dan bayinya sebagai `anak angkat’ taska. Berita tentang mereka kami tahu dari Ustazah Zuraini. Si isteri yang ditinggal suami, bergantung tidak bertali, si anak pula tidak pernah mendapat nafkah dari si ayah. Terbit rasa kasihan dan tanggungjawab, molek juga taska memberi ruang dan peluang kepada dua beranak ini menumpang kasih dan mencari rezeki di sini. Alhamdulillah, waris terdekatnya memberi izin dan berlapang dada dengan tawaran kami.

Pagi ini, saya mendapat panggilan telefon dari pengasuh memohon bantuan untuk mendapatkan rawatan bayi angkat yang demam mengejut dan asyik meragam sepanjang malam tadi. Dengan izin suami, pergilah saya dengan rasa amanah dan tanggungjawab sebagai pengurus dan sahabat. Mereka ini bukan setakat pekerja, tetapi saya sudah anggap sebagai keluarga sendiri. Tangan mereka yang lebih banyak membelai anak-anak saya sepanjang masa bekerja. Masakan saya menolak permintaan mereka mentah-mentah!

Bila direnung-renung kembali, sungguh, taska ini benar-benar menjadi seperti Pusat Khidmat Masyarakat! Semuanya saling memberi dan menerima. Kami memberi tempat untuk perlindungan, mereka memberi kasih sayang dan didikan pada anak-anak.

Jalan Keluar

Di kesempatan yang terhad selepas ke klinik pagi ini, saya mengambil masa untuk menyelesaikan kemelut yang melanda. Saya lebih senang bersemuka dan mendengar penjelasan sebagai `bela diri’. Setelah mendapat keterangan dari kedua pihak, saya analisis dan mencari jalan keluar yang terbaik. Saya harap, segala teguran dan nasihat yang telah saya berikan pada mereka, dapat menjernihkan kembali ukhuwwah yang longgar dan kesatuan hati yang goyah. Teguran dan nasihat bukanlah untuk mencari siapa yang salah, tetapi sebagai ingatan dan panduan untuk meniti hari mendatang.

Kita tidak dapat mengubah apa yang telah terjadi pada masa lepas tetapi kita berupaya mengubah apa yang bakal terjadi pada masa akan datang, dengan usaha dan panduan yang berguna.

Semoga setiap yang kita lakukan pada hari ini dan masa akan datang memberi manfaat pada mereka yang memerlukan. Kewujudan taska sangat perlu untuk memastikan kecemerlangan SMKASAS sejak dulu, kini dan sampai bila-bila. Saya berharap agar bila ketiadaan saya dan rakan-rakan seangkatan nanti, berilah khidmat terbaik untuk memastikan kebajikan semua yang terlibat terus dijaga sebaiknya. Saya berdoa agar setiap yang kita telah lakukan menjadi pemberat timbangan amal di akhirat.

Hidup begitu bermakna bila diuji…

Previous Older Entries

my typing speed

share this blog

Bookmark and Share

Bilangan Pengunjung

  • 38,605 orang

Kalendar 2010

December 2016
M T W T F S S
« Sep    
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031