Mesyuarat
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh… Rabu lepas secara rasmi telah bermulanya tugas rasmi seorang guru SMKASAS. Khamis pun mesyuarat lagi, semuanya untuk memastikan kelancaran perjalanan awal tahun yang baik untuk anak didik harapan. Puan Fauziah dan Puan Farial juga telah selamat kembali dari menunaikan rukun Islam ke-5. Jelas terpancar riak bahagia dan sempurna pada wajah mereka, berseri-seri..!
Tahun lepas, saya sengaja mengira berapa jawatan semasa di sekolah yang disandang sepanjang tahun. 9 jawatan semuanya, yang membawa pemberatan yang berbeza. Kebanyakan hanya AJK biasa. Tahun 2010 ini, setelah saya kira semula, ada 10 jawatan! Hmm.. nampaknya ada peningkatan…Jika amanah diberi berdasarkan prestasi yang baik dari tahun lepas, syukurlah.. Saya pun jenis yang tidak berkira, terima saja atas dasar kepercayaan yang diberi oleh pihak pengurusan sekolah.
Pembaharuan
Tahun ini, semua guru menggantikan fail sebagai Rekod Mengajar. Ada juga cikgu-cikgu yang sedikit gusar, mungkin agak kurang `mesra’ dengan cara baru dan agak remeh membuatnya. Sebelum ni, tulis saja, siap semua rekod, bersedia untuk dipantau. Sekarang, mungkin terpaksa `save’, `edit’ dan tunggu giliran untuk `print’ rekod mengajar, walhal hanya 5 helai seminggu. Penggunaan kertas juga akan bertambah, begitu juga ink printer. Saya harap pihak pengurusan sudah menyiapkan segala bekalan ini untuk kemudahan cikgu melaksanakan tugas.
Sesi pagi juga tamat agak lewat, 3.20 petang! Ini kerana dasar baru yang ditetapkanoleh pihak sekolah yang mewajibkan Solat Zohor berjemaah untuk semua murid, guru dan kakitangan. Dasar ini sudah lama dipraktikkan di SMKA cemerlang bahagian pantai Timur. Paling penting, ini dapat membentuk dan menyubur kesatuan hati antara murid dan guru. Mudah-mudahan impaknya nanti melahirkan insan kamil syumul terbilang seiring dengan hasrat sekolah.
Harapan
Saya berdoa dan mengharapkan agar pengorbanan semua pihak dalam mendidik anak bangsa mendapat perhatian dan redha dariNya. Marilah sama-sama kita betulkan niat, hanya untukNya semata, agar setiap yang kita lakukan menjadi pemberat amal di akhirat!
Buat semua rakan guru seperjuangan, semoga anda sentiasa tekun, sabar dan tenang sepanjang mencurah bakti buat anak didik kita. Kerana merekalah harapan agama di masa depan. Bangsa yang menjaga agama, pasti selamat dunia akhirat!
Selamat maju jaya!