Kemelut Taska 2

Masalah Rutin

Di awal perlantikan saya sebagai Pengurus Taska At Tarbiah sehinggalah sekarang dikenali sebagai Pusat Jagaan At Tarbiah SMKASAS, rasanya amanah itu agak berat. Apalagi jika seiring dengan tugas rutin saya sebagai pendidik sebuah sekolah kluster kecemerlangan. Tetapi Alhamdulillah, segala telahan saya nyata meleset kerana semua AJK dan rakan-rakan guru yang terlibat, sangat memberi kerjasama dan komitmen yang baik terhadap hal ehwal pengurusan. Malah saya merasakan, kami sedang bersama-sama mengurus pusat jagaan anak-anak kami, dan jawatan saya itu hanyalah sekadar `di atas kertas’ sahaja.

Sekarang ini, taska kami melalui kemelut rutin yang biasa…Pengasuh saling tidak percaya, kurang serasi dan sana sini terdapat lompang yang tak sempat ditampung oleh yang lain. Biasalah, kalau ada perbezaan umur, tahap kesihatan, pemahaman bidang tugas, emosional, sudah pasti sukar untuk membentuk keserasian. Setiap dari mereka ada saja masalah yang diadu kepada saya, Pengurus yang menjadi pendengar setia. Masing-masing dengan harapan yang menggunung agar saya dapat merungkai kemelut yang melanda.

Kebajikan Masyarakat

Sejak kemasukan pengasuh yang agak `berumur’ menjadi sebahagian dari keluarga baru taska ini, lewat kebelakangan, banyak pula cerita `tidak serasi’ ini timbul. Yang muda belia, mereka tangkas, segalanya dibuat penuh cekap dan komited. Yang tua (berumur), stamina sudah jauh ketinggalan, ditambah dengan sakit yang ada. Perbezaan dari segi ketangkasan bekerja ini begitu ketara diutarakan kepada saya. Yang muda cepat belajar, yang tua, setiap hari terpaksa diingatkan tugasnya sendiri. Hmm…susah juga ye.. Saya diminta untuk menegur pihak yang kononnya bermasalah itu.

Kadang-kadang masa agak terbatas, mencari ruang untuk menyelesaikan kemelut begini memakan masa juga. Setiap hati mesti dijaga, jangan sampai rajuknya hingga mohon berhenti kerja. Yang susah, pastinya kami, cikgu-cikgu! Semua tindakan yang diambil mesti mengambil kira kebajikan setiap pihak, baik pengasuh, anak-anak mahupun cikgu-cikgu. Tiga pihak inilah yang merealisasikan penubuhan taska kami. Taska untuk menjaga kebajikan masyarakat SMKASAS.

Saudara Baru

Minggu ini, kami menerima dua orang lagi ahli baru keluarga taska. Seorang sebagai pengasuh, dan bayinya sebagai `anak angkat’ taska. Berita tentang mereka kami tahu dari Ustazah Zuraini. Si isteri yang ditinggal suami, bergantung tidak bertali, si anak pula tidak pernah mendapat nafkah dari si ayah. Terbit rasa kasihan dan tanggungjawab, molek juga taska memberi ruang dan peluang kepada dua beranak ini menumpang kasih dan mencari rezeki di sini. Alhamdulillah, waris terdekatnya memberi izin dan berlapang dada dengan tawaran kami.

Pagi ini, saya mendapat panggilan telefon dari pengasuh memohon bantuan untuk mendapatkan rawatan bayi angkat yang demam mengejut dan asyik meragam sepanjang malam tadi. Dengan izin suami, pergilah saya dengan rasa amanah dan tanggungjawab sebagai pengurus dan sahabat. Mereka ini bukan setakat pekerja, tetapi saya sudah anggap sebagai keluarga sendiri. Tangan mereka yang lebih banyak membelai anak-anak saya sepanjang masa bekerja. Masakan saya menolak permintaan mereka mentah-mentah!

Bila direnung-renung kembali, sungguh, taska ini benar-benar menjadi seperti Pusat Khidmat Masyarakat! Semuanya saling memberi dan menerima. Kami memberi tempat untuk perlindungan, mereka memberi kasih sayang dan didikan pada anak-anak.

Jalan Keluar

Di kesempatan yang terhad selepas ke klinik pagi ini, saya mengambil masa untuk menyelesaikan kemelut yang melanda. Saya lebih senang bersemuka dan mendengar penjelasan sebagai `bela diri’. Setelah mendapat keterangan dari kedua pihak, saya analisis dan mencari jalan keluar yang terbaik. Saya harap, segala teguran dan nasihat yang telah saya berikan pada mereka, dapat menjernihkan kembali ukhuwwah yang longgar dan kesatuan hati yang goyah. Teguran dan nasihat bukanlah untuk mencari siapa yang salah, tetapi sebagai ingatan dan panduan untuk meniti hari mendatang.

Kita tidak dapat mengubah apa yang telah terjadi pada masa lepas tetapi kita berupaya mengubah apa yang bakal terjadi pada masa akan datang, dengan usaha dan panduan yang berguna.

Semoga setiap yang kita lakukan pada hari ini dan masa akan datang memberi manfaat pada mereka yang memerlukan. Kewujudan taska sangat perlu untuk memastikan kecemerlangan SMKASAS sejak dulu, kini dan sampai bila-bila. Saya berharap agar bila ketiadaan saya dan rakan-rakan seangkatan nanti, berilah khidmat terbaik untuk memastikan kebajikan semua yang terlibat terus dijaga sebaiknya. Saya berdoa agar setiap yang kita telah lakukan menjadi pemberat timbangan amal di akhirat.

Hidup begitu bermakna bila diuji…

Edisi Mesti Baca (4)

Dicatat oleh Ummu Husna on 20 May 2010

Saya sering bermonolog tatkala bersendiri, terutama saat mata terhenti membaca apa-apa berita dan hal ehwal terkini wanita hari ini. Hati disayat pilu melihat tubuh-tubuh Muslimah yang masih banyak dimanipulasi sebagai daya penarik. Tanpa saya menafikan, seringkali keadaan itu beriringan dengan ‘perbalahan’ dari dua sisi di lubuk jiwa yang paling dalam.

Sisi gelap dari syaitan Laknatullah yang membisikkan rasa tidak kisah. Biarkan sahaja…bukankah wanita-wanita itu telah memilih jalan kehidupan mereka? Lalu, mengapa perlu menyibukkan dirimu?

Namun, sisi kedua yang memancarkan cahaya Ilahi berbisik sebaliknya.

Sayangkah saya kepada wanita, apatah lagi muslimah seperti saya…andai tika melihat mereka hanyut dilambung ombak dunia yang bergelora, saya hanya berdiam tanpa usaha?

Kasihkah saya pada keturunan Hawa, jika saat melihat mereka semakin asyik dibuai alunan nafsu, saya hanya diam membatu? Kaku dan bisu.

WANITA DAN ‘TREND’

Sebetulnya, saya tidak mahu terlalu kerap menyentuh tentang wanita dan segala perhiasannya yang indah. Sudah cukup rasanya beberapa peringatan yang tidak seberapa dari saya lewat artikel-artikel sebelum ini. Akan tetapi, sebaik menerima beberapa pertanyaan tentang trend terkini pakaian Muslimah yang semakin menjadi-jadi, saya kembali meniupkan semangat diri untuk saling nasihat menasihati. Pertanyaan tersebut saya ambil dari ruang komentar pada artikel, Tsunami Dosa :

Salam,

Saya nak bertanya pasal wanita. saya ada terlihat kawan saya post : ~ Wanita-wanita mereka( isteri mereka atau anak perempuan), berpakaian tetapi seperti bertelanjang ( nipis&ketat). Di atas kepala mereka pula(wanita) terdapat bonggolan (sanggul atau tocang) seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat~

Yang pasal sanggul tu betul ke ye? Minta pandangan.

Saya membuka lembaran al Quran untuk mengambil pedoman dan kekuatan. Ayat di bawah ini sungguh menggetarkan jiwa kehambaan bila mengingatkan amaran Ilahi dan Rasul yang dicintai.

Allah SWT berfirman:

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُواْ يَعْتَدُون َكَانُواْ لاَ يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُواْ يَفْعَلُونَ

Maksudnya : “Orang-orang kafir dari Bani israil telah dilaknat melalui lisan Daud dan Isa, Putera Maryam. Yang demikian itu kerana mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka tidak saling mencegah perbuatan yang selalu mereka perbuat. Sungguh, sangat buruk apa yang mereka perbuat“. ( Surah Al-Maidah ayat 78-79 )

Ibnu Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW, usai membaca ayat tersebut, Baginda bersabda:

“Demi Zat yang jiwaku berada ditangan-Nya, hendaklahlah kalian menegakan amar ma’ruf dan nahi munkar, membimbing orang yang buruk akalnya dan meluruskanya agar sejajar dengan kebenaran. Jika tidak, sungguh Allah akan melenturkan hati sebahagian kalian atas hati sebahagian yang lain dan akan melaknat kalian sebagai melaknat mereka“.

SEUMPAMA BONGGOL UNTA


Kenyataan yang jelas terpampang di dalam masyarakat kita hari ini, ramai wanita menghambur wang ringgit untuk mendapatkan pakaian yang cantik menawan, perhiasan yang bergemerlapan, bahan-bahan kecantikan, peralatan solek yang berlebihan dan seumpamanya. Golongan ini mudah terikut dengan arus fesyen kontemporari atau perkataan lainnya, trend, tanpa mengambil tahu terlebih dahulu persoalan hukum dan kewajarannya menurut pandangan agama.

Sedangkan jika diperhalusi secara matang dengan berpandukan kebenaran, semua itu tidak banyak menjana atau menambah kemajuan perekonomian sejagat dan tidak pula meningkatkan taraf hidup masyarakat. Bahkan sebaliknya, ia hanya menambah beban dan tanggungan yang maha berat kepada ummat kerana dilakukan TANPA menurut aturan syari’at.

Kata-kata yang disertakan di dalam pertanyaan di atas, sebenarnya bersumber dari sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Akan muncul dalam kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka( isteri atau anak perempuan mereka ), berpakaian tetapi seperti bertelanjang ( nipis dan ketat). Di atas kepala mereka pula terdapat bonggolan seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat”. ( Hadith riwayat Ahmad )

Dan juga sabda Nabi SAW :

صنفان من أهل النار لم أرهما بعد قوم معهم سياط كأذناب البقر يضربون بها الناس ونساء كاسيات عاريات مميلات مائلات رؤسهن كأسنمة البخت المائلة لا يدخلن الجنة ولا يجدن ريحها وإن ريحها ليوجد من مسيرة كذا وكذا

Maksudnya : “Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah aku lihat kedua-duanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang ( iaitu penguasa yang kejam), (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan bisa masuk syurga, dan tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim, Babul Libas)

Dari hadis ini, Rasulullah SAW memberi amaran tentang dua golongan yang menghuni neraka, dan salah satu daripadanya ialah wanita yang mendedahkan aurat, mereka berpakaian tetapi seolah-olah bertelanjang dek pakaian yang disarung amat nipis, ketat dan sendat. Masih menampakkan lekuk dan bentuk tubuh. Juga, mereka tidak mengambil langkah berjaga-jaga untuk menyempurnakan penutupan aurat sebagaimana yang disyari’atkan agama.

Jujurnya, rambut wanita yang disifatkan oleh Junjungan Mulia itu sebagai sebesar punuk unta atau bonggol unta sedang berlaku secara meluas dan digayakan tanpa rasa bersalah. Segalanya bermula dari daya tarik inginkan kecantikan yang ada pada wanita yang mengenakan trend tersebut dalam berpakaian ketika mereka keluar bergelandangan di dalam masyarakat. Walaupun telah mengenakan tutup kepala, tetapi hakikatnya mereka masih ingin mempamerkan keindahan dengan meninggikan ikatan sanggul di kepala. Dikatakan, gaya sedemikian dapat menjadikan pemakainya kelihatan lebih seksi dan menawan.

Lebih malang, bagi wanita yang tidak memiliki rambut panjang, mereka sanggup membeli sanggul tiruan untuk turut serta memeriahkan gaya terkini lagi ranggi itu. Tanpa sedar, dua kesalahan telah mereka lakukan. Dosa memakai rambut palsu, walaupun tersorok di sebalik tudung yang dikenakan; dan kedua, dosa bertabarruj ( berhias dan mempamer kecantikan serta keindahan pada wajah dan tubuh badan kepada yang bukan muhrim ) yang amat dilarang.

Berita tentang itu, boleh dibaca di sini.

Tidakkah timbul rasa gerun dan gentar di hati para Muslimah yang membaca hadis ini bila mana Rasululullah menyatakan golongan yang melakukan dosa seumpama ini sebagai penghuni neraka Allah? Na’uzubillah…

KREATIF SENI
Situasi ini disemarakkan lagi dengan kehadiran pereka-pereka busana Muslimah yang menyatakan mereka mahu membantu Muslimah ( yang perlu menyahut seruan menutup aurat tetapi dalam masa yang sama tetap mampu tampil bergaya, anggun lagi mencuri tumpuan ) untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Sayangnya, mereka tidak menyedari atau mungkin kurang mengerti bahawa rekaan yang dikeluarkan itu tidak selari dengan kehendak Ilahi sebaliknya ia hanya meletakkan martabat ajaran Islam di bawah nama kreativiti seni.

Apabila ada suara-suara berkumandang menegur hasil seni mereka yang tidak sefahaman dengan ajaran murni Islam, mereka mulai rasa tergugat dan membantah menggunakan hujah akal yang banyak diwarnai nafsu kepada dunia.

Dakwa mereka:

“Apa salahnya Muslimah berfesyen arus kontemporari? Bukankah ini lebih bermanfaat untuk menarik lebih ramai orang bukan Islam melihat keindahan Islam yang dipamerkan dari pakaian dan perhiasan. Walaupun Muslimah menutup aurat, bertudung kepala dan mengenakan hijab, tetapi mereka tetap dilihat cantik dan menawan, mengikut arus fesyen semasa, tidak kolot atau jauh ketinggalan.”

“Kami membantu Muslimah untuk lebih yakin diri. Mereka hidup dalam suasana semasa yang mana wanita semakin berada di depan bersama lelaki. Jadi, rekaan sebegini mampu menjadikan mereka lebih berkeyakinan dan berpersonaliti.”

Ingatlah, jika kreativiti seni dan kehendak manusia dijadikan sebagai satu piawaian atau kerangka nilai, maka akan terjadilah kekacauan dan kepincangan.

BISIKAN IBLIS

Allah SWT menggambarkan orang-orang yang lebih mengutamakan kebenaran logik akal, juga kehendak dan kesukaan manusia ramai daripada kebenaran wahyu adalah identik dengan sifat orang-orang yang lalai dan termakan hasutan syaitan. Firman-Nya :

وَلاَ تَأْكُلُواْ مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَى أَوْلِيَآئِهِمْ لِيُجَادِلُوكُمْ وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ

Maksudnya : “Dan janganlah memakan binatang-binatang yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya. Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya agar mereka membantah kamu; dan jika kamu menuruti mereka, sesungguhnya kamu tentulah menjadi orang-orang yang musyrik.” ( Surah Al-An’am ayat 121 )

Sifat iblis dan syaitan yang terus menerus diperjuangkannya ialah menyanggah dan menolak kebenaran demi mempertahankan pandangan dan pendirian yang menyalahi ajaran Allah SWT. Justeru, tidak hairan, hakikat yang berlaku ialah bukan ia tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah, tetapi karena memang ia tidak mau mengikut dan tunduk pada kebenaran tersebut.

Allah SWT juga mengingatkan :

يَا بَنِي آدَمَ لاَ يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ الْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْءَاتِهِمَا إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لاَ تَرَوْنَهُمْ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاء لِلَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya : “Hai anak Adam! Janganlah kamu sekali-kali dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya aurat mereka.” ( Surah Al-A’raf ayat 27 )

ALAT DAN TUJUAN

Saya bukan mahu menafikan fitrah seorang wanita. Juga, jauh sekali dari meletakkan diri saya sebaris dengan orang-orang yang anti kepada fesyen-fesyen terkini. Tidak sama sekali. Kerana jujurnya saya juga punya naluri ingin tampil mempesona. Juga turut tertarik dengan busana yang sungguh indah dan cantik di mata.

Saya akui dan sedar semua wanita mempunyai keinginan itu.

Cuma, saya berhasrat untuk mengajak wanita bergelar Muslimah memahami dan meneliti setiap tindak tanduk mereka. Menggunakan kecerdasan akal yang dikurniakan oleh Allah Yang Maha Esa untuk lebih bijak menggunakan kecantikan bagi mencapai matlamat yang benar. Kecantikan dan perhiasan yang ada pada mereka, tidak lebih dari hanya sebuah ‘alat’, bukan tujuan.

Andai betul dan benar bawaan kita dalam menggunakan alat itu, maka besar pula potensi kita mencapai tujuan. Sebaliknya, jika salah bawaan kita, walau sedikit sahaja, maka ‘alat’ itu tidak lagi memberikan manfaat dan KEBAIKAN, bahkan ia boleh berubah menjadi gunting dalam lipatan. Atau lebih buruk dari itu, ia menjadi senjata makan tuan!

Lihatlah sekeliling kita dengan penuh keinsafan dan rasa belas seorang perempuan, bagaimana sejumlah wanita Muslimah yang telah tersasar menggunakan kecantikan yang dianugerahkan. Gadis remaja bersaing untuk kelihatan paling menawan, wanita dewasa saling berlumba untuk kelihatan cantik bergaya. Kesannya, gejala seks bebas kian melata akibat dari wanita tidak menjaga penampilan dan lelaki semakin sukar memelihara pandangan. Ditambah lagi dengan kemunculan wanita-wanita penggoda yang menyebabkan rumahtangga wanita lain berantakan dan lain-lain lagi. Semua itu ada mukadimah atau rangsangannya dan antara mukadimah itu ialah bertabarruj.

Justeru itu, Islam menggesa kaum wanita agar memelihara dirinya dari kecantikan yang memperdayakan dan mengarah kaum lelaki supaya tidak melihat kaum wanita dengan pandangan yang bersumber dari syaitan. Allah SWT berfirman:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

Maksudnya : “Katakanlah kepada kaum lelaki daripada golongan yang beriman, hendaklah mereka mengawal penglihatan mereka dan menjaga kehormatan kemaluan mereka.” ( Surah an-Nur ayat 30 )

Kerana itu, perlu saya tegaskan bahawa tujuan seorang wanita berhias cantik adalah untuk menambah kasih dan cinta lelaki bernama suami, menghangatkan ikatan yang telah dihalalkan atas nama Tuhan Yang Maha Esa. Dan akhir dari itu semua pastilah demi mencapai kesejahteraan dan keredhaan-Nya.

MUSLIMAH SOLEHAH YANG BEBAS

Saya menemui satu pengakuan tulus dan jujur lewat tulisan seorang wanita Barat bernama R. Stevenson di dalam The Toronto Star bertarikh 23 Januari 2002, berhubung etika pemakaian wanita Islam. Sebagai seorang Muslimah, saya amat terharu membaca kata-katanya itu. Menurut beliau:

“While out for dinner last week with colleagues, we sat beside three 20-something women. There was the usual posing and glances exchange, and as they paid their bill two Muslim women entered and sat nearby. Whispers were quickly exchanged and we could hear, “Why do they wear those things anyway?” … “I feel sorry for them” … and so on.

As they filed out of the restaurant with guests, we noticed they spotted a mixed collection of the following: skin tight pants, short skirts, exposed midriffs, push-up bras, high heels, jewelry, see-through or plunging tops, piercings, lipstick and makeup, and one had breast implants for certain.

We observed the two Muslim women as they were engaged in close conversation over coffee. Their graceful features complimented their dark headscarves and warm eyes. Their natural gestures were flirty without even trying – revealing natural beauty. And their clothes, while conservative, brought forth the hidden potential of something wonderful and truly feminine. The idea of dressing modestly terrifies some western women – but why? Perhaps it would trample their “right” to show off. Would their self-esteem fall along with their hemlines?

After some debates, we identified the cost of the western “right” to flaunt. The Muslim women were free from the fashion trap – free to “just be” without posing, comparing, dieting and spending for the approval of men and each other. And they looked more desirable to us than the exhibitionists who were in the restaurant and parading on the sidewalk. The sexual displays in our culture are so mainstream and competitive that modesty is seen as regressive. Yet, long term, when a man looks past the tight pants and heels, he will ultimately detect not confidence, but a certain unattractive desperation. Modest women don’t have that desperation – they don’t compete in the arena of vanity. They have themselves – and that’s the kind of attraction with legs to last the long run.

Remember that the next time you feel sorry for a Muslim woman.”

UNTUK MUSLIMAHKU YANG DIKASIHI…

Akhirnya, wahai Muslimahku….
Insafilah, bahawa ketika ini musuh-musuh Islam begitu memerhatikan kedudukan wanita Islam dan kepada siapa dia dapat memberikan pengaruhnya. Seorang Muslimah itu, hidupnya adalah sebagai seorang ibu, sekaligus sebagai guru dan pembangun generasi yang makmur dan padu.

Justeru itu, mereka berusaha sedaya upaya untuk menghancurkan moral dan akhlak Muslimah, merentap ‘pakaian’ Deen yang benar, mengoyak ‘hayaa’ ( rasa malu ) dari menutupi tubuh badan, fikiran dan tindakan mereka sehingga kesannya nanti, moral dan akhlak anak-anak Muslim, pembangun masa depan sebagai tiang-tiang ummat, akan turut hancur dan rosak. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan tanpa rawatan, kelak tiang ini akan hancur lunyai bak dimakan anai-anai. Hilanglah kekuatan Ummah. Generasi pewaris semakin lemah, maka apa yang akan terjadi pada masa depan umat Islam ? Mungkinkah hanya tinggal sejarah ?

Tidakkah sebak di hati kita membayangkan ummat Islam di zaman Rasul dan salafussoleh, mereka cemerlang dan tinggi di mata dunia kerana meletakkan kebenaran menguasai hawa nafsu. Berbanding kita hari ini…semakin lemah dan diperlekeh kerana nafsu merajai kebenaran sehingga sanggup mengenepikan wahyu dan aturan Tuhan.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama, dalam menghadapi situasi yang gawat dan kritis ini, untuk kembali kepada kehendak Allah SWT yang menginginkan agar manusia berusaha mengendalikan hawa nafsu berwahanakan ilmu. Ilmu yang yang diwariskan oleh Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW kepada para sahabat, tabi’in, tabi’ al-tabi’in, dan para ulama yang sentiasa prihatin dengan ajaran dan sunnah Rasul-Nya.

Muslimah tercinta…
Kata-kata saya ini bukan baru, namun ia adalah peringatan untuk kita semua. Semoga Allah SWT mengurniakan manfaat yang ada padanya dan mengalirkan kesannya pada hati dan jiwa kita dengan kedamaian, ketenangan dan kebahagiaan.

Ketahuilah, kita kini umpama berdiri di satu pelabuhan kehidupan, sedang menunggu kapal yang akan membawa kita ke destinasi terakhir di sebuah dataran besar, iaitu akhirat yang lebih kekal. Tingkatkan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya dan carilah apa yang menyenangkan Allah bagi memungkinkan kita meraih komoditi yang tidak terbanding nilaiannya..

Bahawa kita semua punya harapan untuk Al- Jannah. Syurga yang tersedia untuk golongan yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah.

Karnival Hari Guru 2010

Hari Guru 2010

Saban tahun, pelajar sibuk membuat perancangan untuk meraikan guru mereka. Tapi, lain pula respon dan reaksi dari pihak guru. Setelah saya menjadi guru, 2,3 tahun terawal, agak teruja bila pelajar menghadiahkan bermacam benda sebagai tanda kasih sayang mereka. Tetapi, setelah berakhir Hari Guru, tiada lagi perasaan `berbunga-bunga’ tadi…

Pada saya, ucapan `terima kasih’, ucapan salam sepanjang pelajar bersama guru adalah lebih bermakna. Disulam pula dengan akhlak, pekerti mulia, hormatkan guru, menyemarakkan lagi rasa sayang dan lega terhadap pelajar-pelajar ini. Bukan kena tunggu tiba Hari Guru, baru nak menzahirkan segala rasa yang ada. Terus terang saya nyatakan, persembahan yang didedikasikan khas buat guru di atas pentas itu hanya sia-sia dan buang masa! Pentomen, lagu-lagu jiwa, dan segala yang berunsur hiburan itu bukanlah cara terbaik untuk menghargai guru anda!

Jadi, untuk men`dewasakan’ cara pelajar merancang dan mengurus majlis untuk menghargai guru pada Hari Guru, perlu ada `guru’ yang membantu mereka belajar bagaimana cara yang sepatutnya yang dapat menambat hati pendidik sebagai kenangan yang tidak mudah dilupakan. Oleh itu, Kelab Kebajikan Kakitangan (3K) SMKASAS menyahut cabaran ini untuk memberi bimbingan dan latihan kepada pelajar menganjur program sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini.

Saya telah berusaha mendraf kertas kerja bagi tujuan ini dengan bantuan beberapa rakan guru yang berpengalaman, sebagai permohonan pihak pengurusan untuk kelulusan awal. Kami sepakat namakan program ini sebagai `Karnival Sambutan Hari Guru 2010′. Dalam perancangan, tarikh pelaksanaan adalah pada 17 Mei 2010. Namanya biasa sahaja tetapi pengisiannya jauh berbeza dari kebiasaan sebelum ini.

Setelah penganugerahan `Sekolah Kluster Kecemerlangan’ , tidak dinafikan guru dan pelajar sama-sama agak tertekan dengan pelbagai tuntutan pengajaran dan pembelajaran. Apapun, segalanya kita masih bersama cuba dan berusaha mana yang terdaya dengan cara yang terbaik. Jadi, program yang dirancang ini diharapkan dapat mengurangkan tekanan tersebut, mengubat hati-hati yang sedih, memberi kegembiraan serta menyuburkan kasih sayang sesama warga SMKASAS. Pengisian program adalah berbentuk pertandingan ko akademik, sukan dan memasak. Inilah masanya pelajar dapat menyaksikan bakat terpendam guru-guru mereka, kebolehan sampingan guru di luar profesionalisme sebenar.

Saya cuba menyerapkan penglibatan pelajar dari aspek merancang dan mengurus program ini. Setiap aspek penganjuran terdapat jawatankuasa dari kalangan kelab dan persatuan pelajar. Ringkasnya, guru dan pelajar bersama-sama di dalam satu unit menjadi rakan sepasukan. Diharapkan tunjukajar dari guru terlibat dapat menjadi panduan kepada pelajar untuk menimba pengalaman merancang dan mengurus program.

Oleh itu, adalah menjadi harapan dan cita saya dan rakan-rakan guru umumnya, agar program ini menjadi satu titik mula koordinasi antara guru dan murid dalam menjayakan program sekolah. Di samping itu, ia akan menjadi kenangan manis yang dapat dikenang dalam memori SMKASAS.

Paling penting, guru akan terus rasa dihargai dan dirai dengan seadanya dalam suasana yang berbeza di SMKASAS. Buat semua pelajar di luar sana, kenanglah jasa guru anda. Bukan hadiah berharga yang diharapkan, cukuplah anda menjadi insan kamil berakhlak mulia, mendukung cita-cita agama serta hamba yang taat patuh padaNya. Hormatlah guru anda walau siapa pun anda kini, tegur dan muliakanlah mereka dengan cara yang sepatutnya.

Tanpa guru, anda bukanlah sesiapa!

Jumpa lagi nanti!

Adakah Kita Telah Berhijab Dengan Betul?

Dalam kesibukan tugas guru sejak sebulan berlalu, telah menghadkan saya untuk meluah rasa dan berkongsi ilmu dengan masyarakat siber. Cuma masih selalu menjengah blog-blog pautan sahabat dan berita semasa. Pagi ni, terpaut sungguh dengan satu entry sahabat, Ustazah Aslina berkenaan aurat muslimah.

Saya sangat setuju dengan pendapat dan hujah beliau berkenaan tuntutan berhijab yang sebenarnya. Saya sangat berterima kasih dan akan bersama-sama terus memberi sokongan terhadap perjuangan beliau memberi kesedaran terhadap syariat ini di kalangan masyarakat muslimah khasnya. Kerana yang disebutnya itu bukanlah atas dasar nafsu atau emosional, tapi yang telah diperintah oleh Allah, Tuhan sekalian alam..,pencipta seluruh alam maya. Siapa pula kita hendak menafi atau memprotes arahanNya? Ha..tepuk kepala, tanyalah iman.

Tahukah anda bagaimana cara bertudung yang dituntut oleh Islam? Cara yang betul, yang diperintah Allah SWT dan dipesan oleh Rasulullah SAW? Di sini saya ingin kongsi dengan anda sekalian, sebuah penyampaian menarik oleh seorang pemuda Muslim yang bagitu prihatin tentang pemakaian hijab yang dituntut syara’.

Berhijab atau bertudung itu berpahala dan pasti beroleh ganjaran jika tepat mengikut syariat. Tetapi, awas jika berhijab dengan cara yang salah, hanya menempah dan mendekatkan diri dengan azabNya. Pilihan ada di tangan kita, duhai muslimah penghias dunia.

Bagi yang telah tahu, melalui tarbiyah keluarga atau semasa menuntut, anggaplah ia suatu muhasabah untuk diri. Bagi yang baru sahaja tahu bagaimana tuntutan sebenar berhijab, ini adalah ilmu. Ilmu yang wajib diamal, dan disebarluas buat yang lain.  Semoga darinya, kita sama-sama beroleh manfaat dan pahala yang berterusan. Menjadi pemberat amal di akhirat. Dunia ini penuh godaan pelbagai rupa, tinggal lagi bagaimana iman dan nafsu mengatasinya.

Hidup, pasti diuji!

Kesibukan Bermula..

Mesyuarat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh… Rabu lepas secara rasmi telah bermulanya tugas rasmi seorang guru SMKASAS. Khamis pun mesyuarat lagi, semuanya untuk memastikan kelancaran perjalanan awal tahun yang baik untuk anak didik harapan. Puan Fauziah dan Puan Farial juga telah selamat kembali dari menunaikan rukun Islam ke-5. Jelas terpancar riak bahagia dan sempurna pada wajah mereka, berseri-seri..!

Tahun lepas, saya sengaja mengira berapa jawatan semasa di sekolah yang disandang sepanjang tahun. 9 jawatan semuanya, yang More

Blog Tentang Memasak

Assalamualaikum semua pembaca budiman, semoga berada dalam limpahan kasih dan rahmatNya…
Saya berusaha untuk membuat satu lagi blog untuk berkongsi minat dengan semua tentang masakan. Maklumlah, saya guru KHB-ERT. Dan kebetulan. memang sangat suka memasak dan mencuba resipi-resipi baru. Saya banyak mengutip ilmu masakan dari majalah kegemaran saya, RASA, dari kawan setugas dan keluarga,semestinya.
Buat masa ini, saya baru sahaja reformat laptop dan menambah program baru untuk kemudahan P&P dan berblog. Saya harap, cita-cita saya akan dapat direalisasikan tak berapa lama lagi.
Doakan saya…ye!

Selamat Hari Lahir…Umur Juga Bertambah…

Hari ini merupakan ulangtahun kelahiran saya ke -31. Pagi ni terasa kurang sihat, badan semacam berat nak bersiap ke sekolah. Tetapi setelah memandang wajah anak-anak yang mesti bersekolah, terus saya bingkas bersiap sedia seperti biasa. Selesai solat, saya panjatkan kesyukuran kerana Allah masih memberi nikmat kehidupan dan kebahagiaan bersama keluarga untuk kesekian kalinya. Syukur ya Allah…tempatkanlah aku bersama-sama mereka yang Engkau redha dan rahmati…Murahkan rezeki kami, lindungilah kami dari anasir yang menjauhkan kami dari jalanMu… amin!
Pagi-pagi lagi anak-anak memberi ciuman di pipi tanda ucap `Happy Birthday’ untuk Ummi mereka. Terima kasih anak-anakku..Cuma masih tertunggu-tunggu kejutan dari Walid mereka.. hehe…Biasanya suami kurang minat untuk mengingat perkara yang bersangkut dengan tarikh-tarikh ni. Kadang-kadang kita yang terpaksa mengingatkan. Tapi, isteri tetap sayang suami walau tarikh yang penting ini dilupakan mereka…itulah bukti betapa pengorbanan perasaan isteri pada suami.
Tak kurang juga ada anak-anak didik saya yang memberi ucap selamat. Penyelia dan pengasuh-pengasuh di Taska juga. Kak Bibah (Penyelia Taska) siap bagi hadiah yang cukup istimewa buat saya. Tak sangka, sebab saya hanya sebut-sebut, dia pula ingat sampai sekarang… Alhamdulillah, dapat juga benda yang saya minat sangat dari dulu.
Hari ini saya bertambah umur tapi ada insan lain yang terhenti hayat pada hari ini. Awal pagi tadi berlaku kemalangan antara penunggang motorsikal dengan lori 18 tayar. Mangsa mati di tempat kejadian, betul-betul di simpang masuk UITM Seri Iskandar. Innalillaah…
Semoga hari ini memberi seribu kebahagiaan kepada saya dan keluarga. Terima kasih atas tanda ingatan kawan-kawan dan anak-anak didik. Semoga kalian juga sentiasa beroleh kebahagiaan hidup dunia dan akhirat..
Terima kasih semua!

my typing speed

share this blog

Bookmark and Share

Bilangan Pengunjung

  • 38,875 orang

Kalendar 2010

April 2017
M T W T F S S
« Sep    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930