Kemelut Taska 2

Masalah Rutin

Di awal perlantikan saya sebagai Pengurus Taska At Tarbiah sehinggalah sekarang dikenali sebagai Pusat Jagaan At Tarbiah SMKASAS, rasanya amanah itu agak berat. Apalagi jika seiring dengan tugas rutin saya sebagai pendidik sebuah sekolah kluster kecemerlangan. Tetapi Alhamdulillah, segala telahan saya nyata meleset kerana semua AJK dan rakan-rakan guru yang terlibat, sangat memberi kerjasama dan komitmen yang baik terhadap hal ehwal pengurusan. Malah saya merasakan, kami sedang bersama-sama mengurus pusat jagaan anak-anak kami, dan jawatan saya itu hanyalah sekadar `di atas kertas’ sahaja.

Sekarang ini, taska kami melalui kemelut rutin yang biasa…Pengasuh saling tidak percaya, kurang serasi dan sana sini terdapat lompang yang tak sempat ditampung oleh yang lain. Biasalah, kalau ada perbezaan umur, tahap kesihatan, pemahaman bidang tugas, emosional, sudah pasti sukar untuk membentuk keserasian. Setiap dari mereka ada saja masalah yang diadu kepada saya, Pengurus yang menjadi pendengar setia. Masing-masing dengan harapan yang menggunung agar saya dapat merungkai kemelut yang melanda.

Kebajikan Masyarakat

Sejak kemasukan pengasuh yang agak `berumur’ menjadi sebahagian dari keluarga baru taska ini, lewat kebelakangan, banyak pula cerita `tidak serasi’ ini timbul. Yang muda belia, mereka tangkas, segalanya dibuat penuh cekap dan komited. Yang tua (berumur), stamina sudah jauh ketinggalan, ditambah dengan sakit yang ada. Perbezaan dari segi ketangkasan bekerja ini begitu ketara diutarakan kepada saya. Yang muda cepat belajar, yang tua, setiap hari terpaksa diingatkan tugasnya sendiri. Hmm…susah juga ye.. Saya diminta untuk menegur pihak yang kononnya bermasalah itu.

Kadang-kadang masa agak terbatas, mencari ruang untuk menyelesaikan kemelut begini memakan masa juga. Setiap hati mesti dijaga, jangan sampai rajuknya hingga mohon berhenti kerja. Yang susah, pastinya kami, cikgu-cikgu! Semua tindakan yang diambil mesti mengambil kira kebajikan setiap pihak, baik pengasuh, anak-anak mahupun cikgu-cikgu. Tiga pihak inilah yang merealisasikan penubuhan taska kami. Taska untuk menjaga kebajikan masyarakat SMKASAS.

Saudara Baru

Minggu ini, kami menerima dua orang lagi ahli baru keluarga taska. Seorang sebagai pengasuh, dan bayinya sebagai `anak angkat’ taska. Berita tentang mereka kami tahu dari Ustazah Zuraini. Si isteri yang ditinggal suami, bergantung tidak bertali, si anak pula tidak pernah mendapat nafkah dari si ayah. Terbit rasa kasihan dan tanggungjawab, molek juga taska memberi ruang dan peluang kepada dua beranak ini menumpang kasih dan mencari rezeki di sini. Alhamdulillah, waris terdekatnya memberi izin dan berlapang dada dengan tawaran kami.

Pagi ini, saya mendapat panggilan telefon dari pengasuh memohon bantuan untuk mendapatkan rawatan bayi angkat yang demam mengejut dan asyik meragam sepanjang malam tadi. Dengan izin suami, pergilah saya dengan rasa amanah dan tanggungjawab sebagai pengurus dan sahabat. Mereka ini bukan setakat pekerja, tetapi saya sudah anggap sebagai keluarga sendiri. Tangan mereka yang lebih banyak membelai anak-anak saya sepanjang masa bekerja. Masakan saya menolak permintaan mereka mentah-mentah!

Bila direnung-renung kembali, sungguh, taska ini benar-benar menjadi seperti Pusat Khidmat Masyarakat! Semuanya saling memberi dan menerima. Kami memberi tempat untuk perlindungan, mereka memberi kasih sayang dan didikan pada anak-anak.

Jalan Keluar

Di kesempatan yang terhad selepas ke klinik pagi ini, saya mengambil masa untuk menyelesaikan kemelut yang melanda. Saya lebih senang bersemuka dan mendengar penjelasan sebagai `bela diri’. Setelah mendapat keterangan dari kedua pihak, saya analisis dan mencari jalan keluar yang terbaik. Saya harap, segala teguran dan nasihat yang telah saya berikan pada mereka, dapat menjernihkan kembali ukhuwwah yang longgar dan kesatuan hati yang goyah. Teguran dan nasihat bukanlah untuk mencari siapa yang salah, tetapi sebagai ingatan dan panduan untuk meniti hari mendatang.

Kita tidak dapat mengubah apa yang telah terjadi pada masa lepas tetapi kita berupaya mengubah apa yang bakal terjadi pada masa akan datang, dengan usaha dan panduan yang berguna.

Semoga setiap yang kita lakukan pada hari ini dan masa akan datang memberi manfaat pada mereka yang memerlukan. Kewujudan taska sangat perlu untuk memastikan kecemerlangan SMKASAS sejak dulu, kini dan sampai bila-bila. Saya berharap agar bila ketiadaan saya dan rakan-rakan seangkatan nanti, berilah khidmat terbaik untuk memastikan kebajikan semua yang terlibat terus dijaga sebaiknya. Saya berdoa agar setiap yang kita telah lakukan menjadi pemberat timbangan amal di akhirat.

Hidup begitu bermakna bila diuji…

Minggu Peperiksaan Datang Lagi…

Persediaan Sebelum…

2 minggu sudah, semua guru sibuk menyiapkan item soalan untuk minggu peperiksaan pertengahan tahun. Maklum saja, pemilihan item mesti berkualiti untuk melatih pelajar menjawab soalan bentuk format peperiksaan sebenar. Bagi kelas peperiksaan, tugas membuat soalan telah di`sub’ kepada pihak tertentu menyediakannya. Guru di sekolah hanya mengedar dan menanda berdasarkan format pemarkahan yang juga telah disediakan.

Yang saya perhatikan, kesungguhan persediaan dari pelajar tidaklah seperti kesungguhan cikgu menyediakan soalan. Tidak pasti apa yang menyebabkan suramnya kemeriahan persediaan mental dan fizikal mereka. Rata-rata nampak masih leka, belajar pada saat-saat akhir dan tidak kurang ambil sikap acuh tak acuh dengan perkara ini.

Bila direnung kembali, saya juga pernah seperti itu semasa Tingkatan 1 dulu..Mungkin rasa seronok belajar di perantauan dengan kawan-kawan melebihi rasa bersungguh untuk belajar dengan tekun. Di Tingkatan 2, saya mula berubah..semuanya bermula oleh Guru Bahasa Arab saya, Ustazah Salwa. Beliau banyak mendidik kami tentang kepentingan ilmu dan masa. Bahasa Arab memang subjek yang mencabar, pertama kali jumpa sewaktu di alam sekolah menengah. Disebabkan minat yang ditimbulkan dari cara Ustazah Salwa mengajar, saya selalu berusaha mendapatkan markah terbaik di dalam kelas, bukan sahaja untuk subjek Bahasa Arab.

Budaya Belajar

Pada saya, semua pelajar perlu ada sikap positif untuk berubah kepada yang lebih baik. Saya hanya bermula dengan minat Bahasa Arab, lalu terus menerapkan kesungguhan untuk menguasai subjek yang lain. Alhamdulillah, saya berjaya cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah yang pertama kali diperkenalkan pada 1993. Belajar di saat akhir hanya mengundang kecewa dan kekesalan.

Sikap positif yang perlu ada pada setiap pelajar termasuklah :

  1. mewajibkan dir menyiapkan kerja rumah oleh guru
  2. mengadakan kumpulan belajar (tidak lebih 6 orang)
  3. membuat nota sisipan untuk hafalan
  4. membuat latih tubi tambahan terutama Matematik
  5. berjumpa guru sekiranya tidak jelas / faham sesuatu topik pelajaran
  6. menjaga kesihatan mental dan fizikal sepanjang masa
  7. meletakkan segala pergantungan kepada Allah SWT
  8. melakukan amalan-amalan sunnah untuk memelihara diri dari perbuatan negatif

Selepas Peperiksaan

Hmm..habis peperiksaan, pelajarlah paling seronok sebab tidak perlu lagi berjaga malam kerana study..Boleh lupakan belajar untuk bercuti dengan bersungguh-sungguh. Tapi jangan lupa, bersukalah seadanya sahaja, jangan sampai memberi kesan negatif pada diri atau orang lain yang menyayangi anda.

Cikgu-cikgu pula, mesti sibuk untuk menanda skrip jawapan anak didik…Banyak kelas, banyaklah skrip yang perlu ditanda. Saya sendiri, sudah teruja untuk menggunakan program analisis item PediA yang disediakan oleh Guru Cemerlang KHB, Cikgu Khairi. Saya doakan semua pelajar mendapat keputusan yang lebih baik berbanding ujian sebelum ini.

Buat guru-guru yang bakal menduduki Peperiksaan Tahap Kecekapan Khamis depan, juga diucapkan Selamat Berjaya! Yang pulang ke kampung halaman, hati-hati memandu, semoga selamat pergi dan balik.

Ok, jumpa lagi!

Semuanya O.K!

Berlalu juga hari tersebut dan nyata, ia memang menjadi `A Moment To Remember’. Hasil idea, penambahbaik, kebersamaan, kerjasama serta ketekunan kami bersama (cikgu rahayu, cikgu hasnimah, cikgu hamizan, cikgu masitah dan cikgu rosma). Yang jelas kedengaran adalah…pujian semuanya. Alhamdulillah, hasil kesepaduan idea dan usaha kami bersama benar-benar telah memberi impak yang agak luar dari kebiasaan.

Tahun ini, saya hanya mahu penambahan 1 elemen sahaja. Tahun-tahun sebelum ini, Hari Anugerah pasti dibanjiri kuntuman bunga- bunga indah yang digubah sendiri. Kali ini saya cuba menghasilkan paduan antara fabrik, kayu dan bunga-bungaan yang diberi sentuhan kontemporari sebagai konsep baru yang sangat menarik. Di sini, saya akan memuatkan cara dan langkah untuk menghasilkan `Blok Kayu & Flora’ yang mudah anda lihat di butik-butik perkahwinan sebenarnya…

1. Alatan yang diperlukan (kayu inci, span bunga, dawai pagar kebun, paku, stapler gun)

2. Susunkan kepingan fabrik satin. Susun dan lekatkan bermula dari penjuru blok kayu yang telah dibentuk.

3. Rupa bentuk setelah fabrik siap dilekatkan.

4. Potong dawai mengikut saiz blok kecil di tengah bingkai. Lekatkan menggunakan dawai.

5. Susun dan lekatkan span bunga. Susun dan atur gubahan bunga mengikut kreativiti sehingga memenuhi bingkai tengah blok tersebut.

6. Inilah hasil akhirnya… 🙂

Ini pula blok yang lebih kecil untuk dinding sisi pentas.

Penambahan hiasan sisi pentas, gabungan fabrik dan fauna

Hiasan lelangit di foyer dewan yang julung-julung kali saya berani-beranikan juga untuk direalisasikan sebagai titik tumpu pertama tetamu yang datang. (sblm ni tak pernah ada hiasan di bahagian ini)

Inilah hasil tatarias gabungan cikgu ert, cikgu seni dan cikgu fizik! (Bahagian pentas utama)

Sentuhan bahagian tepi pentas utama.

Saya juga mengucapkan jutaan tahniah dan terima kasih kepada semua ahli `MY TEAM’ – AJK Pentas  2010. Segala kerjasama, komen, idea serta perkongsian rasa dengan kalian, telah kita sama-sama abadikan pada hasil yang dipersembahkan pada hari yang indah itu.Terasa juga ujian pada peringkat awal, begitu banyak protokol dan minor diskriminasi dalam usaha mendapatkan sumber kewangan bagi projek ini. Tapi, ujian itu memang sesuatu yang biasa kerana .:Hidup Pasti Diuji:.

Hidup terasa begitu bermakna bila apa yang kita lakukan memberi nilai positif dan menggembirakan orang lain.

Pemeriksaan Kesihatan Percuma!

Ramai bekas pelajar SMKASAS rupanya sangat sayang dan sentiasa ingin tahu tentang perkembangan terkini sekolah ini. Ramai juga yang rajin bertamu ke blog saya yang serba kekurangan ini dengan harapan, dapat mengikuti perubahan semasa yang berlaku di SMKASAS. Oleh itu, kali ini saya ingin menulis untuk mereka… 🙂

Program MOH SIHAT

Buat julung kalinya, Kelab Kebajikan dan Kakitangan SMKASAS berjaya menganjurkan program Pemeriksaan Kesihatan secara percuma kepada semua guru dan staf sokongan. Program ini dijalankan serentak dengan Temasya Olahraga Tahunan SMKASAS Kali Ke-20 pada Sabtu, bersamaan 20 Februari 2010. Saya juga secara tidak langsung terlibat aktif dalam merancang dan melaksana agar program ini dapat dijayakan sepenuhnya.

Hemm..sebut tentang sukan, tentu anda (ex-students) rasa teruja untuk mengetahui rumah mana Juara Keseluruhan 2010, kan? Tapi dengan syarat, kena baca seluruh entry. Hehehe.. 🙂

More

Inilah Permulaannya

Assalamualaikum semua sahabat komuniti siber sekalian. Semoga beroleh rahmat dan kasihNya sentiasa…

Sejak semalam saya rasa tidak sihat, jadi hari ini saya hanya berehat di rumah setelah mendapatkan rawatan di klinik. Sejak SMKASAS melanjutkan sesi pagi yang berakhir pada 3.20 petang sejak awal sesi persekolahan tahun ini, rutin harian saya sekeluarga banyak berubah.Minda dan spriritual saya positif berkenaan perubahan ini tetapi tidak pada fizikal dan jasad. Tubuh saya tidak mampu menerima tekanan dan perubahan ini. Tetapi syabas saya ucapkan pada sahabat yang terus bertahan, komited dan tekun dalam menjalankan tanggungjawab yang amat besar.

Luahan

Ada juga saya meluah rasa dalam laman facebook, antara lain menyebut tentang dapur yang sudah lama tidak berasap kerana keletihan untuk memasak. Rasa kasihan pada suami dan anak-anak yang selama ini mengharap air tangan saya. Lebih sedap, kena dengan selera dan jimat belanja. Tapi apakan daya, akhirnya tubuh ini rebah jua. Demam, selsema dan sakit setiap sendi. More

My `Hero’ is back!

Petang semalam, saya telah mendapat kembali hero (kereta wira) yang sudah lebih 2 bulan di bengkel akibat kemalangan kecil Oktober lepas. Alhamdulillah, sepanjang pemanduan pulang, semua dalam keadaan baik-baik sahaja. Yey!

Terasa bertambah lega dan syukur bila suami memaklumkan keretanya juga sudah mula proses pemasangan bahagian yang remuk dirempuh sebelum cuti sekolah lepas…

Hidup begitu bermakna bila diuji..Terima kasih ya Allah!

My 2010 Plans

Assalamualaikum semua.. semoga berada dalam rahmat dan kasih sayangNya..

Tujuan utama saya membangunkan blog site ini adalah untuk menambah ilmu serta berusaha mengembangkannya untuk peningkatan profesionalisme guru. Saya selalu sembang dengan rakan baik saya, Cikgu Hasnimah, yang saya sangat ingin belajar bagaimana cara alternatif memudahkan pelajar mengakses contoh-contoh soalan peperiksaan dan ujian serta membuat penyelidikan tugasan kerja kursus PMR.

More

kejadian yang tidak diingini

Assalamualaikum semua…

Hari ini adalah minggu ke-2 cuti sekolah. Cuti kali ni agak berbeza sebab kami sekeluarga terpaksa `bercuti’ hanya di sini. Selalunya time cuti sekolah, kami akan ke kampung suami di Gemas, Negeri Sembilan. Ini semua berlaku tanpa diduga…Allah jua sebaik-baik penentu. Jumaat hari akhir persekolahan, saya bersama suami pergi ke KTMB Batu Gajah, menjemput adik bongsu saya, Akmal dan kawan-kawannya yang bakal memulakan latihan praktikal untuk keperluan program pengajian.

Hujan mengiringi sepanjang perjalanan. On the way balik ke Bota, hujan semakin lebat.

More

assalamualaikum dan ahlan wasahlan!

Ini blog site saya yang baru. Agak teruja dengan konsep wordpress yang jauh lebih baik dari blogger. saya ingin juga mencuba, biar setitis, tapi percikannya tumpah ke sekeliling…

selamat membaca dan terima kasih atas sokongan anda!

my typing speed

share this blog

Bookmark and Share

Bilangan Pengunjung

  • 38,991 orang

Kalendar 2010

July 2017
M T W T F S S
« Sep    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31