Kemelut Taska 2

Masalah Rutin

Di awal perlantikan saya sebagai Pengurus Taska At Tarbiah sehinggalah sekarang dikenali sebagai Pusat Jagaan At Tarbiah SMKASAS, rasanya amanah itu agak berat. Apalagi jika seiring dengan tugas rutin saya sebagai pendidik sebuah sekolah kluster kecemerlangan. Tetapi Alhamdulillah, segala telahan saya nyata meleset kerana semua AJK dan rakan-rakan guru yang terlibat, sangat memberi kerjasama dan komitmen yang baik terhadap hal ehwal pengurusan. Malah saya merasakan, kami sedang bersama-sama mengurus pusat jagaan anak-anak kami, dan jawatan saya itu hanyalah sekadar `di atas kertas’ sahaja.

Sekarang ini, taska kami melalui kemelut rutin yang biasa…Pengasuh saling tidak percaya, kurang serasi dan sana sini terdapat lompang yang tak sempat ditampung oleh yang lain. Biasalah, kalau ada perbezaan umur, tahap kesihatan, pemahaman bidang tugas, emosional, sudah pasti sukar untuk membentuk keserasian. Setiap dari mereka ada saja masalah yang diadu kepada saya, Pengurus yang menjadi pendengar setia. Masing-masing dengan harapan yang menggunung agar saya dapat merungkai kemelut yang melanda.

Kebajikan Masyarakat

Sejak kemasukan pengasuh yang agak `berumur’ menjadi sebahagian dari keluarga baru taska ini, lewat kebelakangan, banyak pula cerita `tidak serasi’ ini timbul. Yang muda belia, mereka tangkas, segalanya dibuat penuh cekap dan komited. Yang tua (berumur), stamina sudah jauh ketinggalan, ditambah dengan sakit yang ada. Perbezaan dari segi ketangkasan bekerja ini begitu ketara diutarakan kepada saya. Yang muda cepat belajar, yang tua, setiap hari terpaksa diingatkan tugasnya sendiri. Hmm…susah juga ye.. Saya diminta untuk menegur pihak yang kononnya bermasalah itu.

Kadang-kadang masa agak terbatas, mencari ruang untuk menyelesaikan kemelut begini memakan masa juga. Setiap hati mesti dijaga, jangan sampai rajuknya hingga mohon berhenti kerja. Yang susah, pastinya kami, cikgu-cikgu! Semua tindakan yang diambil mesti mengambil kira kebajikan setiap pihak, baik pengasuh, anak-anak mahupun cikgu-cikgu. Tiga pihak inilah yang merealisasikan penubuhan taska kami. Taska untuk menjaga kebajikan masyarakat SMKASAS.

Saudara Baru

Minggu ini, kami menerima dua orang lagi ahli baru keluarga taska. Seorang sebagai pengasuh, dan bayinya sebagai `anak angkat’ taska. Berita tentang mereka kami tahu dari Ustazah Zuraini. Si isteri yang ditinggal suami, bergantung tidak bertali, si anak pula tidak pernah mendapat nafkah dari si ayah. Terbit rasa kasihan dan tanggungjawab, molek juga taska memberi ruang dan peluang kepada dua beranak ini menumpang kasih dan mencari rezeki di sini. Alhamdulillah, waris terdekatnya memberi izin dan berlapang dada dengan tawaran kami.

Pagi ini, saya mendapat panggilan telefon dari pengasuh memohon bantuan untuk mendapatkan rawatan bayi angkat yang demam mengejut dan asyik meragam sepanjang malam tadi. Dengan izin suami, pergilah saya dengan rasa amanah dan tanggungjawab sebagai pengurus dan sahabat. Mereka ini bukan setakat pekerja, tetapi saya sudah anggap sebagai keluarga sendiri. Tangan mereka yang lebih banyak membelai anak-anak saya sepanjang masa bekerja. Masakan saya menolak permintaan mereka mentah-mentah!

Bila direnung-renung kembali, sungguh, taska ini benar-benar menjadi seperti Pusat Khidmat Masyarakat! Semuanya saling memberi dan menerima. Kami memberi tempat untuk perlindungan, mereka memberi kasih sayang dan didikan pada anak-anak.

Jalan Keluar

Di kesempatan yang terhad selepas ke klinik pagi ini, saya mengambil masa untuk menyelesaikan kemelut yang melanda. Saya lebih senang bersemuka dan mendengar penjelasan sebagai `bela diri’. Setelah mendapat keterangan dari kedua pihak, saya analisis dan mencari jalan keluar yang terbaik. Saya harap, segala teguran dan nasihat yang telah saya berikan pada mereka, dapat menjernihkan kembali ukhuwwah yang longgar dan kesatuan hati yang goyah. Teguran dan nasihat bukanlah untuk mencari siapa yang salah, tetapi sebagai ingatan dan panduan untuk meniti hari mendatang.

Kita tidak dapat mengubah apa yang telah terjadi pada masa lepas tetapi kita berupaya mengubah apa yang bakal terjadi pada masa akan datang, dengan usaha dan panduan yang berguna.

Semoga setiap yang kita lakukan pada hari ini dan masa akan datang memberi manfaat pada mereka yang memerlukan. Kewujudan taska sangat perlu untuk memastikan kecemerlangan SMKASAS sejak dulu, kini dan sampai bila-bila. Saya berharap agar bila ketiadaan saya dan rakan-rakan seangkatan nanti, berilah khidmat terbaik untuk memastikan kebajikan semua yang terlibat terus dijaga sebaiknya. Saya berdoa agar setiap yang kita telah lakukan menjadi pemberat timbangan amal di akhirat.

Hidup begitu bermakna bila diuji…

Iftar Jamaie

Salam Ramadhan….
Ahad lepas saya berkesempatan menjemput semua kakitangan Pusat Jagaan At Tarbiah (Taska) SMKASAS untuk berbuka puasa bersama keluarga saya di rumah. Sejak pagi, saya sudah mula memasak, semestinya istimewa buat mereka yang telah banyak membantu serta mengasuh anak-anak saya selama ini.
Menu yang saya sediakan adalah menu kegemaran kami sekeluarga ; Gulai Lemak Ayam Masak Cili Api, Daging Goreng Lada Hitam, Ikan Rebus Tumis Kering, Sambal Tempoyak Masak dengan Timun, Tauhu Bakar dan Bubur Kacang Bersusu. Alhamdulillah, semuanya sempat saya siapkan mengikut jadual. Maklumlah, nak jaga anak kecil, kemas rumah, mendobi dalam masa yang suntuk, agak memenatkan. Tetapi saya dapat berehat secukupnya walaupun banyak menu yang perlu disediakan.
Sampai masa yang ditunggu-tunggu, tetamu saya sampai dengan selamat di rumah. Hanya Alyaa’ (anak sulung) yang menyambut mereka. Anak-anak lain dah tidur, kepenatan bermain sebelah petangnya. Yang tak seronok, kami makan dalam suasana suram sebab lampu meja makan dah lama tak dibaiki (mungkin coknya problem sebab dah cuba ganti tiub dan starter).
Seronok dapat makan ramai-ramai. Part paling best, tengok nasi dalam periuk hampir licin! Nampaknya tercapailah objektif saya…Penat memang tidak langsung terasa walau saya memasak lebih dari biasa. Seronok dapat menjamu orang-orang yang penting dalam kerjaya saya. Memang betul kata orang, kalau kita memasak dengan rasa kasih dan sayang, ikhlas itu datang sendiri, penat pun tak terasa…malah rasa bersyukur dapat berkongsi detik-detik berharga itu dengan mereka yang begitu hampir dalam hidup kita. Kasih bertambah, ukhuwwah bertaut erat.
Saya harap kawan-kawan semua dapat meluangkan masa, carilah satu hari yang sesuai untuk bersama mereka yang terlalu banyak membantu dalam kita membina kerjaya. Kita perlu buat untuk menunjukkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada mereka.
Sampi sini saja coretan kali ini. Wa ilalliqaa’….

Kemelut Taska….

Selain dari kesibukan sebagai seorang pendidik, saya juga menguruskan Pusat Jagaan At Tarbiah SMKASAS yang menempatkan sebahagian besar anak-anak warga pendidik di sini. Tujuan kewjudan PJAT ini tak lain tak bukan adalah untuk menjaga kebajikan warga pendidik dan kakitangan sekolah sebagai kemudahan mengasuh anak-anak yang masih memerlukan perhatian…

Semalam, salah seorang dari pengasuh kami nekad berhenti kerja kerana kononnya mempunyai masalah dengan rakan sekerja…padahal sudah lebih kurang 4 tahun dia berkhidmat di sini. Entahlah, banyak yang saya fikirkan tentang tindakan drastik tersebut memandangkan saya adalah orang yang mengurus. Kadang2 timbul persoalan dalam hati saya, adakah disebabkan sistem pengurusan yang pincang, atau apa benar dia betul2 berdepan dengan masalah seperti yang didakwa?

Saya cuba untuk berfikiran positif dan berharap agar isu ini tidak berpanjangan dan menggoyahkan pengurusan yang sedia ada. Semoga segala kemelut yang melanda akan reda dan menjadi pengajaran kepada semua, baik pihak pengurusan mahupun kakitangan PJAT sendiri.

Sama2lah kita berdoa dan berusaha demi kegemilangan dan kecemerlangan taska anak2 SMKASAS!

my typing speed

share this blog

Bookmark and Share

Bilangan Pengunjung

  • 38,923 orang

Kalendar 2010

May 2017
M T W T F S S
« Sep    
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
293031